اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Tuesday, October 23, 2012

Raya Hari Jumaat Tak Wajib Solat Jumaat? - Ustaz Azhar Idrus


Salam, Selamat Hari Raya AidilAdha diucapkan kepada semua,



Raya kali nie jatuh hari jumaat, pahtu nak solat jumaat tak ke nak solat raya je?


video youtube Raya Hari Jumaat Tak Wajib Solat Jumaat? - Ustaz Azhar Idrus



Pengertian Solat Jumaat dan solat Sunat ‘Id 

(Hari Raya)



Solat Jumaat ialah solat secara berjemaah pada hari Jumaat setelah masuknya waktu Zohor menggantikan solat Zohor yang didahului dengan dua khutbah beserta rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu. Dalil kefardhuan solat Jumaat telah disebutkan oleh Allah SWT dalam kitabNya,


Surat Al-Jumuah ayat 9 :
ياأيها الذين ءامنوا إذا نودى للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذالكم خير لكم إن كنتم تعلمون.

Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan senbahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu), yang yang demikian adalah baik bagi kamu mengetahui (hakikat yang sebenar).

Sementara solat sunat ‘Id ialah solat sunat yang dilakukan pada pagi hari raya dengan syarat-syarat yang tertentu.

Perbezaan antara solat Jumaat dan solat sunat ‘Id ialah pada masa khutbahnya dibaca. Pada solat Jumaat, khutbah dibaca sebelum solat manakala bagi solat sunat ‘Id pula, khutbah dibaca sesudah solat sunat dilakukan.

Permasalah Hukum Sekiranya ‘Id (Hari Raya) Jatuh Pada Hari Jumaat: Haruskah Kita Meninggalkan Solat Jumaat?

Mengikut Imam Syafie ra, kewajipan mendirikan Jumaat itu umum bagi semua hari, yakni kefardhuan untuk melakukan solat Jumaat itu tidak akan gugur walaupun pada hari tersebut umat Islam telah mendirikan solat ’Id.

Menurut Imam Syafie ra, ahli Qura atau ahli Badwi diberi keringanan (الرخصة) untuk tidak mendirikan solat Jumaat. Manakala ahli Balad kewajipan itu sama sekali tidak gugur. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW,

قد اجتمع فى يومكم هذا عيدان، فمن شاء أجزأه من الجمعة وإنا مجمعون
Yang bermaksud, Telah jatuh pada hari ini 2 hari raya (Jumaat dan 1 Syawal) maka diizinkan di antara kamu untuk tidak menunaikan solat Jumaat tetapi bagi kami, kami akan menunaikannya.

Ditegaskankan lagi dengan athar daripada Othman ra,

من أحب من أهل العالية أن ينتظر الجمعة فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فليرجع
Yang bermaksud, Mana-mana ahli ‘Aliah (pendalaman) yang mahu menunaikan solat Jumaat maka bolehlah mereka menunggunya, tetapi sesiapa di kalangan mereka yang mahu pulang, maka pulanglah.

Mengikut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik pula, setiap orang mukallaf itu dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya, iaitu solat Jumaat dan solat sunat ‘Id. Maka antara kedua solat ini tidak boleh menjadi pengganti antara satu sama lain.


Pengertian Ahli Balad, Ahli Qura atau Ahli Badwi

Ahli Balad

Ahli Balad ditakrifkan sebagai penduduk sebuah penempatan yang mana padanya terdapat segala kemudahan mendirikan solat Jumaat seperti masjid. Selain itu, mereka juga mudah untuk mendengar seruan azan bagi menandakan telah masuknya waktu solat.

Ahli Qura atau Ahli Badwi

Ahli Qura atau Ahli Badwi pula ditakrifkan sebagai kaum atau penduduk yang tinggal di pendalaman atau tempat terpencil yang tidak terdapat kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat atau solat sunat ‘Id secara berjemaah dan juga tidak terdengar seruan azan bagi menandakan masuk waktu solat.


Alasan Mengapa Diberian Rukhsah dan Keringanan Kepada Ahli Qura dan Ahli Badwi Pada Meninggalkan Fardhu Jumaat.

  1. Mengikut Imam Syafie ra keringanan (الرخصة) untuk tidak mendirikan solat Jumaat hanya diberikan kepada ahli Qura atau ahli Badwi kerana terdapatnya kesusahan dan kepayahan ( المشقة ) untuk datang semula ke masjid setelah selesai melakukan solat sunat ‘Id disebabkan tidak terdapatnya kemudahan untuk mereka berulang-alik antara tempat tinggal mereka dengan masjid.

  1. Kesusahan ( المشقة ) dan halangan untuk menunaikan solat Jumaat itu adalah sebab kepada gugurnya kewajipan menunaikan solat Jumaat.

  1. Sekiranya mereka (ahli Qura) keluar dari masjid sebelum tergelincir matahari, maka mereka diizinkan untuk meninggalkan solat Jumaat.

  1. Tetapi jika sebaliknya, mereka wajib menunaikan solat Jumaat sebelum pulang ke rumah.

  1. Rukhsah dan keringanan untuk meninggalkan solat Jumaat ini bukanlah disebabkan oleh jatuhnya Hari Raya itu pada hari Jumaat, tetapi sebaliknya, keringanan (الرخصة itu disebabkan oleh kesusahan dan halangan untuk menunaikan solat Jumaat yang dihadapi oleh ahli Qura atau ahli Baqwi yang mana mereka tinggal jauh daripada masjid dan tidak mempunyai kemudahan asas yang mencukupi pada ketika itu untuk menunaikan solat Jumaat.

Kesimpulan

Realiti masyarakat Negeri Sembilan hari ini, tidak boleh disamakan dengan ahli Qura atau ahli Baqwi yang mana mereka terpaksa mengharungi kepayahan dan kesusahan bagi menunaikan solat sunat ‘Id dan solat Jumaat pada hari yang sama sebagaimana yang dinyatakan. Ini kerana di Negeri Sembilan pada hari ini terdapat banyak kemudahan dan infrastruktur yang telah disediakan seperti jalan raya, pengangkutan, masjid di setiap kampung dan juga terdapat media eletronik sebagai alat perantara untuk memberitahu telah masuknya waktu solat fardhu. Maka tidak terdapat kepayahan dan kesusahan serta alasan bagi umat Islam di Negeri Sembilan daripada meninggalkan solat Jumaat.

Rujukan

  1. Bughyah al-Mustarsyidin, Syeikh Abd. Rahman Ba ‘Alawi.
  2. ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Abi al-Tayyib Mohd. Al-Haq al-‘Azim.
  3. al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, Dr. Abd. Karim Zaidan.
  4. Ahsan al-Kalam. ‘Atiah Saqar
  5. Bidayah al-Mujtahid, Abi al-Walid Mohd. Bin Ahmad

Penjelasan tentang hukum diambil dari laman ini artikel jumaat dan raya mufti negeri sembilan


p/s hukum ini boleh digunakan semua masyarakat awam di Malaysia bukan hanya setakat Negeri Sembilan sebab Negara Kita mengamalkan mazhab Syafie, jadi umum boleh beramal.

Reactions:

0 kata2 @ ucapan. syukran:

Powered by Blogger.