اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Saturday, August 31, 2013

Prof. Dr. Necmettin (Najmuddin) Erbakan


Necmettin (Najmuddin) Erbakan, seorang pemimpin gerakan Islam politik di Turki dan mantan perdana menteri negara itu, dilaporkan telah meninggal dunia. Erbakan, 85 tahun, meninggal di Hospital Ankara Guven pada Ahad (27/2). Nama Erbakan tidak asing dalam gelanggang gerakan Islam. Beliau pernah menerajui gerakan Islam di Turki dengan membawa banyak pembaharuan dan ijtihad yang baharu.
Pemergian beliau dirasai seluruh gerakan Islam di dunia terutamanya di Turki. Jika kita lihat Erdogan seorang yang lantang, berani serta berstrategi, perlu diketahui bahawa Erbakan adalah sifunya.
Namun mungkin ada kalangan kita yang belum mengenali beliau secara lanjut. Di sini saya cuba kongsikan sedikit latar belakang kepada sosok yang berjasa besar kepada revolusi kebangkitan rakyat yang berlaku di Timur Tengah hari ini.

Siapa Dia Erbakan?


Prof Dr Najmuddin (Necmettin) Erbakan dilahirkan pada 29 Oktober 1926 bersamaan 22 Rabi`ul Awwal 1345H di bandar Sinop berdekatan dengan Laut Hitam, berasal dari keluarga yang cintakan Islam.

Pada tahun 1948 beliau belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti Istanbul di Fakulti Kejuruteraan sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan doktor falsafah di Aachen, Fachhochschule Aachen (University of Applied Sciences Aachen, Germany)dalam bidang Termodynamic dan Atom.

Pada peringkat remaja, beliau cenderung kepada aspek keagamaan. Beliau membabitkan diri dalam aliran 'Tareqat Naqsyabandiah' pimpinan Syeikh Muhammad Zaheed Kotko yang menyokong Gerakan an-Nursiah (nisbah kepada Badi`uzzaman Sa`id an -Nursi) membantu Perti 'Nizam al-Watani' iaitu sebuah parti politik pertama di Turki yang berhaluan Islam secara menyeluruh.

Setelah menamatkan pengajian dalam Fakulti Kejuruteraan, beliau menceburi bidang politik. Beliau bertanding dan menang dalam piihanraya di Bandar Quwineh atas tiket Parti 'Nizam al-Watani' dan menjadi ahli parlimen termuda ketika itu. Namun, beliau terpaksa menubuhkan parti baru berteraskan Islam setelah dihalang berpolitik menerusi kerajaan campuran kerana menentang keras konsep sekularisme.

Tahun 1971, Parti 'Nizam al-Watani' telah diharamkan. Sembilan bulan selepas itu Dr Necmettin menubuhkan Parti as-Salamat dan bergabung dengan Parti Rakyat Turki, menang pilihanraya tahun 1973 sekaligus membentuk kerajaan campuran. Beliau menjawat jawatan Naib Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri di tujuh kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri, Keadilan, Perdagangan, Kastam, Pertanian, Perindustrian dan Pemakanan.

Tetapi ianya hanya bertahan selama tujuh bulan kerana digulingkan oleh pihak tentera yang kuat berpegang dengan amalan sekularisme.

Pada tahun 1977, Dr Necmettin yang mendapat sokongan anggota pimpinannya bergabung dengan Parti Gerakan dan Parti Keadilan yang menang pilihanraya serta membentuk kerajaan campuran buat kali ketiga. Tetapi beliau diarahkan meninggalkan parti dan penglibatan politik oleh pihak tentera yang dapat menghidu kecenderungan beliau kepada Islam. Beliau telah dipenjarakan bersama 33 yang lain pada tahun 1981 selama 4 tahun. Pada tahun 1986 beliau menubuhkan Parti Refah setelah pulang dari ibadat umrah.

Parti Refah bergerak di tengah medan masyarakat sekular Turki dengan mewajahkan sebagai gerakan cakna rakyat dan kebajikan. Ini adalah kerana perlembagaan Turki yang melarang sebarang bentuk aktiviti politik Islam dan politik langsung tidak boleh dikaitkan dengan Islam. Parti Refah sentiasa dintip dan diawasi oleh pihak tentera, ditekan dengan mehnah dan tribulasi. Namun Refah tetap menunjukkan akhlaq yang baik dalam berpolitik, menyantuhi anak-anak yatim, ibu tunggal, mengadakan kelas-kelas al-Quran, perkhidmatan kesihatan percuma dan sebagainya. Ini dengan pantas menarik minat anak-anak muda yang cintakan Islam setelah melihat sistem sekular gagal dalam memberi kebahagiaan dan memusnahkan sendi-sendi aqidah umat Islam.



Selama 10 tahun dalam parti ini, sekali lagi beliau bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1996, Parti Refah menang besar dan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri tetapi hanya bertahan selama 9 bulan iaitu pada tahun 1997 kerana digulingkan oleh tentera yang memang membenci terhadap Islam.

Pada tahun 1998, Parti Refah telah diharamkan dengan berbagai-bagai pertuduhan, manakala Dr Necmettin tidak dibenarkan aktif dalam arena politik Turki. Beliau dianggap pesalah yang harus dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun. Tetapi beliau dibebaskan memandangkan usianya yang telah tua dan dipantau segala aktivitinya oleh pihak tentera.

Walau bagaimanapun, beliau mendapat pengampunan Presiden Abdullah Gul dari Parti Keadilam dan Pembangunan (AKP) yang sedikit sebanyak mempunyai hubungan dari sudut kecenderungan kepada Islam. (rujuk link http://abuikhwan.blogspot.com/2011/02/najmuddin-erbakan-menelusuri-khilafah.html)


Mencipta Kereta Kebal

Semasa berada di Jerman dari tahun 1954-1956, Erbakan bekerja sebagai jurutera dan saintis. Beliau pernah dilantik sebagai ketua jurutera dalam projek mereka bentuk Kereta Kebal German Leapord 1A. Tahun 1957 beliau pulang ke tanah air dan mendirikan kilang enjin bermotor Deutz. Ia adalah satu kejayaan besar bagi negara dan rakyat Turki kerana berjaya membangunkan industri permotoran bertaraf dunia.
Pada masa yang sama Erbakan turut menjadi pensyarah di Universiti Teknikal Istanbul. Beliau dianugerahkan gelaran profesor dalam bidang fizik pada tahun 1965. Tahun berikutnya beliau terpilih sebagai Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri (TOB) iaitu sebuah pertubuhan industri yang berpengaruh. Erbakan juga pernah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Bertukar Haluan Demi Nasib Sejagat

Melihat nasib Islam dan umatnya yang berterusan diinjak di tanah air tercinta, Erbakan mengambil keputusan untuk memasuki kancah politik. Cubaan kali dengan bertanding di atas tiket bebas dalam pilihan raya bagi merebut kerusi Parlimen Konya. Beliau memenangi kerusi tersebut dengan kemenangan yang besar. Dengan itu beliau menjadi anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan Turki.
Pada tahun 1970. Erbakan menjadi pemimpin Milli Selamet Partisi (NSP) atau Parti Penyelamat Nasional. Tahun berikutnya mahkamah mengharamkan parti tersebut dengan tuduhan cuba menimbulkan kesedaran dan kebangkitan agama yang bertentangan dengan dasar sekular negara tersebut.
Undang-undang bobrok Republik Turki yang mengharamkan NSP langsung tidak memadamkan obor perjuangan beliau. Bahkan makin marak menjulang keadilan. Rentetan daripada itu, dengan lebih berani Erbakan menubuhkan parti Islam pertama di Turki iaitu Milli Nizam Partisi (MNP). Sayap Islam terus merebak dan mencapah ke seluruh Turki. Beliau berjaya membuka cawangan parti ke seluruh negara. MNP memdapat sambutan dan dokongan daripada rakyat mahupun media massa dalam negara kerana dasar Islamisasi seperti memperjuangkan akhlak mulia, keadilan sosial dan kebebasan bersuara. Cubaan pertama parti ini pada pilihan raya 1973 berjaya memenangi 49 daripada 450 kerusi yang dipertandingkan.
Erbakan pernah dilantik menjadi menteri dalam kerajan campuran pada tahun 1974 di bawah Bulent Ecevit dari Cumhuriyet Halk Partisi (Parti Republkan Rakyat). Namun kerajaan campuran ini tidak kekal lama. Ia digulingkan tentera pada tahun 1979. Rampasan kuasa dilakukan oleh pihak tentera setelah menyedari dasar sekular Turki kian terancam oleh kerajaan campuran tersebut. Erbakan juga dilarang melibatkan diri dengan politik selama tujuh tahun

Berjaya Menawan Turki

Setelah penarikan balik pengharaman berpolitik oleh pihak tentera, Erbakan meneruskan survival Islam dengan menubuhkan Parti Refah (Parti Kebajikan) pada tahun 1983. Sokongan dan dokongan padu rakyat terhadap Parti Refah terutamanya golongan kelas bawahan kerana parti ini membela mereka. Pada pilihan raya 1995 parti ini menang besar sebanyak 158 kerusi.
Kemenangan besar Parti Refah bersama Dogru Yol Partisi (Parti Haluan Benar) yang mendapat 135 kerusi membolehkan satu kerajaan campuran dibentuk seterusnya Erbakan diberi kepercayaan memegang tampuk Perdana Menteri. Namun, musuh tidak berdiam diri. Tekanan pihak sekular Turki mendesan Erbakan meletak jawatan dan akhirnya Parti Refah diharamkan pada tahun 1998. Walaupun singkat tempoh pemerintahan Erbakan, beliau berjaya melaksanakan beberap dasar-dasar Islam seperti pemakaian menutup aurat di tempat kerja.
Patah tumbuh hilang berganti. Pengharaman Parti Refah bukan penutup perjuangan Erbakan. Seterusnya beliau menubuhkan Parti Fazilet. Parti ini turut menang besar dalam pilihan raya 1999 apabila memenangi 111 kerusi parlimen. Namun, seperti mana nasib parti-parti sebelumnya, Parti Fazilet turut diharamkan pada tahun 2001 atas alasan menghidupkan gerakan anti-sekular.
Seterusnya panji perjuangan mendaulatkan Islam di Turki diserahkan kepada anak didik beliau iaitu Recep Tayyip Erdogan. Benarlah telahan bahawa Islam itu tetap terpelihara dan akan didatangkan ‘rijal’ untuk menjadi penolong agama Allah.
Necmetin Najmullah Erbakan telah melangsaikan hutang perjuangannya dan pergi menghadap Allah dengan senyuman kemenangan. Erbakan telah memulakan perjuangan menjulang nama Allah setingginya serta menyebarluaskan idea faham Islam ke seluruh ceruk muka bumi. Pusaka perjuangan yang takkan lapuk, kitalah pewarisnya!!
Prof Dr Najmuddin (Necmetting) Erbakan adalah merupakan seorang pemimpin ulung gerakan Islam di Turki pada zaman moden. Beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 hingga tahun 1997 dan dianggap sebagai Al-Mursyid Al-Ruhiy kepada gerakan Islam Turki. Pada tanggal 27 Feb 2011 yang lalu beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia 85 tahun selepas ditimpa penyakit dalam tempoh yang agak lama.

Reactions:

0 kata2 @ ucapan. syukran:

Powered by Blogger.