اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Powered By Blogger

Sunday, October 28, 2012

Maju dengan Kebendaan tetapi Akhlak Musnah





Sidang jumaat yang dirahmati Allah!

            Marilah kita mengkaji satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar r.a berkata : Sedang kami duduk bersama sama Rasulullah s.a.w. tiba tiba muncul seorang lelaki yang putih bersih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, tidak ada tanda tanda musafir dari jauh dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya.

            Tiba tiba dia duduk terlalu rapat dengan Rasulullah s.a.w. sehingga berlaga lutut , dia meletak kedua belah tangannya atas paha Rasulullah s.a.w dan berkata : “ Wahai Muhammad! Khabarkan padaku apa dia Islam? Sabda Rasulullah s.a.w.  : Islam itu ialah bahawa engkau menyaksikan bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah SWT dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu mendirikan sembahyang, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa di bulan Ramadhan dan kamu mengerjakan haji ke Baitullahil Haram sekiranya mampu mengerjakannya. ” lelaki itu berkata : betul

            Saidina Umar berkata : Kami merasa hairan, dia bertanya Rasulullah s.a.w. kemudian membenarkan apa yang ditanya.

            Dia bertanya lagi, apa dia Iman? Rasulullah s.a.w. bersabda : “ Iman itu ialah bahawa engkau percaya kepada Allah, kepada Malaikat, kepada Kitab Kitab, kepada Rasul, kepada Hari Akhirat dan Qadar baik dan jahatnya.” Dia berkata : “ Ya benar wahai Muhammad.

            Dia bertanya lagi, apa dia Ihsan?. Ihsan itu bahawa engkau menyembah Allah seolah olah engkau melihatnya, jika kamu tidak melihatnya, maka yakinlah kamu bahawa Dia melihat kamu. Lelaki itu berkata : “ Ya benar wahai Muhammad”

            Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku berkenaan dengan qiamat, bilakah ia akan berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : “ Bukanlah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. ”

            Dia bertanya lagi, ceritakanlah kepadaku tanda tanda qiamat?. Jawab Rasulullah s.a.w. : “ Engkau melihat hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, orang orang yang bangsat, papa, bertelanjang kerana tidak ada pakaian, yang berkaki ayam dan mengembala kambing, tiba tiba mereka berlumba lumba mendirikan bangunan yang tinggi, kemudian lelaki itu berundur.” Saidina Umar berkata : Kami terdiam.

            Tiba tiba Rasulullah bertanya : “ Wahai Umar! Adakah engkau tahu siapakah yang bertanya tadi?. Jawab Umar : “ Allah dan Rasulnya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.  : “ Itulah Jibril, dia datang kepadaku untuk mengajar tentang agama kamu ” [ riwayat Imam Muslim ]

            Hadis ini menerangkan keseluruhan ajaran Islam yang terdiri daripada Iman, Islam dan Ihsan. Ianya merupakan agenda pembangunan manusia dan masyarakat daripada Allah SWT diatas muka bumi ini agar mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan sebaik baiknya.

            Allah SWT sentiasa menguji manusia diatas muka bumi ini sebagaimana firmannya : “ Maha Suci Tuhan yang kerajaan berada di tangannya, Dia Maha Berkuasa diatas tiap tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadikan hidup dan mati bagi kamu untuk menguji kamu di dalam kehidupan ini, siapakah dikalangan kamu yang paling baik amalannya, dialah Tuhan yang Maha Pengampun. ” [ surah al Mulk ayat 1 – 2 ]

            Allah SWT tidak akan menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja, tetapi mengutuskan para nabi dan rasul dengan membawa ajaran islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara perkara yang memberi manfaat kepada mereka didunia dan diakhirat.
            Mengapa hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan bencana sedangkan manusia berada pada tahap yang paling mewah dan kaya ?

            Benarlah yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. maksudnya : “ Berlumba mendirikan bangunan tinggi [ pencakar langit ], begitu sombong dan angkuh manusia sedangkan disana masih ada orang yang miskin, kebuluran, terbiar sakit, tidak ada harta untuk menyara hidup keluarga dan pendidikan anak anak.

            Pada masa yang sama berlaku keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, jenayah yang membahayakan masyarakat, keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.
            Marilah ita membuat muhasabah diri dan melihat bahawa punca ialah kerana manusia meninggalkan ajaran daripada Allah SWT.

            Manusia telah merosakkan iman, islam dan ihsan, iman itu ialah kepercayaan kepada Allah dan segala perintah Allah SWT.

            Tetapi hari ini kita dapat melihat umat islam lemah dan ada yang runtuh musnah, mereka lari daripada petunjuk Allah dengan mencipta petunjuk sendiri dan mereka sesat dalam petunjuk tersebut. Maka Allah mengajar mereka dengan kemusnahan ini agar mereka sedar dan insaf.

             Islam itu ialah syariat Allah yang mengatur kehidupan manusia sama ada diri, keluarga, masyarakat dan pembangunan negara, kerana manusia telah meninggalkan syariat Allah dengan membuat peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT serta berlagak seolah olah lebih pandai daripada Allah SWT.

            Ada juga yang terlebih dalam makanan, minuman, pakaian, pergaulan yang haram serta melakukan perbuatan yang melampaui batas batas syarak.
            Manakala Ihsan itu ialah akhlak dan hubungan baik dengan Allah SWT.

            Manusia hari ini memutuskan hubungan dengan Allah SWT, mengadakan hubungan secara tipu dan tidak ikhlas di hadapan Allah SWT, kononnya menunjuk nunjuk islam tetapi pada masa yang sama merobek robekkan islam.

            Berlakunya keruntuhan dalam rumah tangga apabila ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak anak, hubungan keluarga musnah dan hancur, sudahlah meninggalkan hubungan dengan Allah SWT, berlagak sombong dengannya, berbangga bangga dengan kemegahan dan kemewahan.

            Marilah kita melihat dengan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, adakah amaran Rasulullah s.a.w. itu telah pun berlaku, marilah kita perhatikan dengan hati yang ikhlas.

            Firman Allah maksudnya : “ Dan apabila kami menghendaki untuk menghancurkan sesuatu kampong dan negeri, kami jadikan orang orang yang senang dan mewah di negeri itu dengan perintah kami tiba tiba mereka melakukan kejahatan dan maksiat. Maka benarlah  ke atas firmanNya, maka kami membinasakan mereka sehancur hancurnya ”  [ surah al israa 16 ].



Khutbah dari Rusila ( diambil dari surat khabar Harakah ruangan khutbah dari Rusila ) - translate from Jawi to Rumi.

0 kata2 @ ucapan. syukran:


Powered By Blogger
Powered by Blogger.